
KUALA LUMPUR: Kelulusan penerbangan helikopter bagi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, petang semalam, bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Sebaliknya, kebenaran penerbangan tertakluk kepada agensi berkaitan yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan dan peraturan penerbangan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, berkata setiap penerbangan membabitkan helikopter atau pesawat perlu mematuhi prosedur keselamatan tertentu sebelum kebenaran diberikan.
“Sebarang aspek penerbangan sama ada helikopter ataupun kapal terbang dan sebagainya, prosedur tertentu daripada aspek keselamatan perlu dipatuhi dan barulah mereka diberikan kebenaran untuk terbang.
“Sama ada kebenaran untuk terbang atau tidak, itu tertakluk kepada kelulusan daripada agensi berkenaan, bukan di pihak KKM,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kebenaran penerbangan helikopter berkenaan susulan pihak berkuasa semalam memaklumkan pasukan penyelamat tidak dapat meneruskan penerbangan ke lokasi kejadian berikutan keadaan jerebu.
Dr Mahathar berkata penerbangan helikopter FDS berkenaan sudah dilaksanakan sebelum nahas berlaku.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai aspek kebenaran penerbangan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Dalam kes semalam (penerbangan FDS), kebenaran dan penerbangan itu sudah berlaku. Tetapi untuk maklumat lanjut berkaitan pertanyaan tadi (kebenaran terbang), saya mohon pihak berkuasa yang berkaitan menjawab soalan berkenaan,” katanya.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Lokasi nahas berkenaan terletak kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Kesemua lima individu termasuk juruterbang pesawat berkenaan disahkan maut dalam kejadian itu.






