
KUALA LUMPUR: Seorang wanita Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, India selepas dikesan membawa lebih 15 kilogram (kg) bahan disyaki ganja bernilai 52.5 juta rupee (RM2.24 juta), Jumaat lalu.
Kastam Delhi dalam satu kenyataan memaklumkan wanita berkenaan tiba di Terminal 3 lapangan terbang itu dari Kuala Lumpur sebelum dikenal pasti menerusi proses pemprofilan penumpang.
Menurut kenyataan itu, wanita terbabit kemudian menggunakan laluan hijau sebelum diarahkan pegawai kastam untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan terhadap beg troli yang dibawanya menemukan 30 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki ganja.
“Berat bersih bahan disyaki ganja itu ialah 15,015.5 gram dengan nilai pasaran dianggarkan 52.5 juta rupee,” menurut kenyataan itu.
Wanita berkenaan kemudiannya ditahan, manakala bahan disyaki ganja itu disita mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985.
Kes itu direkodkan mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 akta berkenaan, termasuk peruntukan berkaitan pengimportan dadah secara haram serta persubahatan dan konspirasi jenayah.
Pihak berkuasa India setakat ini belum mendedahkan identiti dan umur wanita terbabit.
Kastam Delhi juga belum menjelaskan asal bahan disyaki ganja itu, termasuk pihak yang dipercayai menyerahkannya kepada wanita berkenaan atau individu yang sepatutnya menerima bahan tersebut di India.
Turut belum diketahui sama ada wanita berkenaan menerima sebarang bayaran sebagai balasan membawa bahan disyaki ganja itu ke India.
Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan pihak berkuasa India.





