
PUTRAJAYA: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi merakam keterangannya berhubung siasatan berkaitan dakwaan rasuah yang tular baru-baru ini.
Menurut sumber, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu tiba sekitar tengah hari untuk membantu siasatan agensi berkenaan.
Shamsul Iskandar merupakan seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM berhubung penyebaran klip video perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan ahli perniagaan, Albert Tei.
Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dijadualkan memberi keterangan semalam, namun berada di Sabah dan tidak dapat kembali mengikut jadual asal.
Sementara itu, Sofia Rini dilaporkan hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 2 petang semalam dan selepas hampir 20 jam, proses mengambil keterangannya masih berlangsung.
Albert pula ditahan awal pagi tadi selepas SPRM melakukan serbuan di kediamannya.
Selasa lalu, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan dakwaan rasuah tersebut.





