KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hanya dapat diumumkan sekitar tengah malam esok, bergantung kepada keadaan cuaca yang diramal tidak menentu.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun berkata, ramalan ribut petir di seluruh negeri esok dijangka memberi kesan kepada proses penghantaran peti undi ke pusat penjumlahan undi, terutamanya dari kawasan pedalaman dan pulau.
Katanya, pelbagai aset termasuk helikopter, bot dan kenderaan pacuan empat roda akan digunakan bagi memastikan peti undi selamat dibawa ke pusat penjumlahan.
“Kita menjangkakan keputusan awal mungkin dapat diumumkan sekitar pukul 10 malam, insya Allah.
Namun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, agak sukar menentukan masa tepat. Sasaran kita adalah untuk menyelesaikan keseluruhan keputusan menjelang tengah malam,” katanya.
Beliau turut menjangkakan keadaan hujan esok mungkin menjejaskan peratusan keluar mengundi. SPR mensasarkan lebih 60 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Pada PRN Sabah 2020, sebanyak 66.61 peratus pengundi keluar mengundi sebelum pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik.
Esok, seramai 1,760,417 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengundian awal membabitkan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing pada Selasa lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi 92.5 peratus.
