
KUALA LUMPUR: Pasukan sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Hat Yai, Thailand terpaksa menghentikan operasi selepas pihak tentera negara itu mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai berbahaya dan tidak selamat dimasuki.
Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, operasi yang dijalankan sejak lima hari lalu bersama sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor dan beberapa negeri utara ditamatkan sekitar pukul 7 malam semalam demi faktor keselamatan.
Menurutnya, tentera Thailand mengarahkan operasi dihentikan selepas beberapa zon banjir dikenal pasti berisiko tinggi termasuk arus deras, struktur bangunan yang lemah serta laluan yang tidak stabil.
“Kami maklum masih ada rakyat Malaysia di kawasan terjejas, namun arahan keselamatan pihak berkuasa Thailand perlu dipatuhi.
“Selepas ini, semua permohonan bantuan baharu akan disalurkan terus kepada tentera dan polis Thailand,” katanya.
Beng Tat turut berharap rakyat Malaysia terus memberi sokongan moral kepada pasukan bomba sukarela yang sentiasa menjadi antara barisan hadapan ketika bencana besar.
Beliau memaklumkan semua ahli pasukan menanggung sendiri kos sepanjang berada di Thailand demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas.
“Sepanjang operasi, ada anggota kami yang cedera namun kami bersyukur kerana berjaya menyelamatkan ramai pelancong Malaysia,” katanya.
Pasukan sukarelawan itu membantu sekurang-kurangnya 1,500 rakyat Malaysia keluar dari kawasan banjir di Hat Yai untuk pulang ke tanah air sejak lima hari lalu.






