
KUALA LUMPUR: Ribut Tropika Senyar dilaporkan telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut berkenaan kini berada di tengah Semenanjung Malaysia dan diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.
“Berdasarkan pencerapan radar cuaca MetMalaysia, Senyar telah mendarat sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan.
“Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang dan Terengganu.
“Corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga 29 November 2025.
“MET Malaysia akan terus memantau keadaan ini dan akan mengemaskini maklumat dan amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.






