
KUALA LUMPUR: Karnival Haji, Umrah & Pelancongan edisi keempat anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bakal menghimpunkan seramai 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah satu bumbung, berlangsung dari 28 hingga 30 November ini di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA.
Menurut wakil Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., penganjuran karnival berkenaan memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai perkhidmatan haji serta umrah.
“Karnival ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk Bual Bicara Podcast TH dan persembahan artis nasyid seperti Raihan, Inteam dan Mawi.
“Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai Simulasi Haji Cilik, sesi interaktif, aktiviti kuiz, bazar serta cabutan bertuah, di samping kehadiran maskot popular Omar & Hana,” katanya.
Andalusia akan berada di reruai D28–D43, dengan tawaran pakej haji merangkumi pakej ekonomi bermula RM45,990 serta pilihan premium bagi mereka yang inginkan pengalaman lebih eksklusif.
Bagi kemudahan pengunjung, perkhidmatan shuttle percuma dari Mitsui Outlet Park turut disediakan sepanjang karnival berlangsung.
Dalam masa sama, Andalusia turut menggerakkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang memberi peluang kepada orang ramai menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.
Hadiah-hadiah menarik turut ditawarkan, termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah JIMBA diadakan setiap Sabtu dan disiarkan secara langsung melalui akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.







