
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat memperkenalkan kemudahan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan bagi membantu pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan yang berdepan situasi mencabar ketika ini.
Menurutnya, kemudahan moratorium tersebut merangkumi pelbagai produk termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
“Pelanggan yang terjejas boleh memohon melalui e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan maklumat lengkap seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti sebagai pengesahan alamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan pemegang Kad Kredit-i boleh menghantar permohonan terus ke e-mel kkredit@bankrakyat.com.my, manakala pelanggan perniagaan digalakkan mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat, menghubungi talian pusat panggilan 1 300 800 800, hadir ke cawangan berdekatan atau pusat susulan berpusat (SB), selain mengikuti saluran media sosial rasmi bank berkenaan.
Sementara itu, situasi banjir di seluruh negara setakat pagi ini tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding semalam.
Jumlah mangsa di Kelantan sedikit menurun, manakala lima negeri lain iaitu Perlis, Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor terus mencatatkan peningkatan dari segi jumlah pemindahan.





