
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendedahkan sebahagian rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir di Selatan Thailand terpaksa dipindahkan ke sempadan Bukit Kayu Hitam menggunakan kontena.
Menurut beliau, keadaan jalan di kawasan terbabit masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui sebarang kenderaan biasa, termasuk bas serta lori.
Mohamad menjelaskan penggunaan kontena menjadi pilihan utama pihak berkuasa Thailand memandangkan laluan dari Sadao menuju ke Bukit Kayu Hitam mengalami kerosakan teruk, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dengan kaedah konvensional.
“Jangan kalau ada yang mengadu nanti, minta maaf nak beritahu, kita gunakan kontena (untuk pindahkan mangsa banjir di Hatyai) kerana lori dan bas tidak boleh lalu.
“Kita gunakan kontena, duduk ramai-ramai macam pemerdagangan manusialah agaknya, dibawa sampai ke Bukit Kayu Hitam,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan merancang menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas, khususnya di Hatyai hari ini dan langkah pencegahan bagi mengelakkan situasi sama berulang.
Mohamad berkata, usaha menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di kawasan banjir masih diteruskan, termasuk semalam dan hari ini setelah hujan mula berkurangan.
Katanya lagi, beliau mengerahkan beberapa bot bantuan yang disediakan pihak berkuasa Thailand untuk memindahkan rakyat Malaysia dari tiga hotel, termasuk pelajar serta pensyarah universiti yang terperangkap.
“(Sebelum ini) mereka tidak boleh diselamatkan menaiki bot kerana arus deras dan hotel ini berhampiran sungai,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke Selatan Thailand supaya menangguhkan hasrat itu kerana kemungkinan risiko terperangkap dalam banjir.






