
KUALA LUMPUR: Tidak sampai 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hat Yai susulan banjir besar yang melanda wilayah selatan Thailand itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, operasi membawa pulang rakyat Malaysia terus dipergiat dan 177 orang lagi berjaya diselamatkan hari ini.
Setakat ini, lebih 700 rakyat Malaysia telah dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara.
Mohamad berkata, sehingga semalam, Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia menyeberangi sempadan melalui Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian.
“Kita sentiasa bersedia hantar pasukan sukarelawan jika diperlukan. Saya sendiri hubungi rakan sejawat di Thailand, tetapi beliau maklumkan keadaan masih dapat mereka uruskan,” katanya.
“Sukarelawan daripada Bulan Sabit Merah Perlis, Kedah dan Perak serta beberapa NGO turut sudah berada di lokasi membantu mangsa,” katanya.
Mohamad memohon maaf sekiranya terdapat rungutan mengenai penggunaan kontena untuk membawa keluar mangsa dari kawasan banjir.
“Kita terpaksa gunakan kontena kerana lori kecil tidak boleh lalu. Duduklah ramai-ramai, asalkan dapat selamatkan mereka keluar dari kawasan itu,” jelasnya.
Beliau berkata, keselamatan rakyat Malaysia di Thailand kekal menjadi keutamaan kementerian dan usaha membawa pulang semua yang masih terkandas akan diteruskan sehingga selesai.







