Shoraka DV lebarkan sayap ke Indonesia
JAKARTA : Shoraka Digital Ventures (“Shoraka DV”), syarikat teknologi digital yang memfokuskan pada teknologi kewangan (Fintech) mengembangkan perniagaannya ke Indonesia dengan bekerjasama dengan PT Kennlines Capital Indonesia (“Kennlines”).
Perkongsian itu menandakan usahasama niaga antarabangsa pertama oleh Shoraka DV yang akan memudahkan penawaran penyelesaian teknologi kewangan tempatan yang dibangunkan kepada pasaran serantau.
Shoraka DV ialah cabang teknologi digital Kumpulan Shoraka, yang diasaskan di Dubai oleh sekumpulan profesional dengan tumpuan perniagaan pada nasihat kewangan di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Sejak penubuhannya, kumpulan itu telah mengembangkan aktiviti perniagaannya ke dalam pembinaan, hartanah, teknologi digital, pendidikan dan industri tenaga.
Kennlines ialah syarikat pemegangan pelaburan Indonesia yang memfokuskan pada infrastruktur, perusahaan, digital dan perkhidmatan nasihat. Ia telah mentakrifkan portfolionya dalam aspek menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Perkongsian strategik ini menunjukkan dedikasi Shoraka DV ke arah membina kepakarannya dalam industri teknologi digital. Dengan rangkaian domestik Kennlines yang kukuh, kerjasama strategik ini akan menjadi wadah untuk Shoraka DV dalam menyediakan penyelesaian digital secara berkesan untuk memenuhi keperluan masyarakat Indonesia.
Pada majlis itu, Pengasas Kumpulan Shoraka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail berkata, “Usaha ini adalah kerjasama strategik bersama rakan kongsi (Kennlines) yang mana kami pernah bekerjasama untuk beberapa aspek lain dalam perniagaan Kumpulan Shoraka sebelum ini. Penyelesaian fintech unik yang ditawarkan oleh Shoraka DV dan rangkaian tempatan yang kukuh melalui Kennlines, kami berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk membuka peluang pasaran di Indonesia.”
Shoraka DV merancang untuk membawa beberapa produknya ke pasaran Indonesia iaitu Platform Re-Rahnu (Platform Shoraka Suyula), Platform Pemfaktoran Invois (Shoraka QuickFactor) dan Platform Dagangan Komoditi Tawarruq (Shoraka Al-Amin) tertakluk kepada kelulusan domestik yang diperlukan.
Pengarah Urusan SDV, Johar Amat, berkata, “Shoraka DV akan bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan kami di Indonesia untuk membawa penyelesaian yang kami tawarkan ke pasaran Indonesia. Kami mungkin mengubah suai penyelesaian produk itu agar sesuai dengan pasaran tempatan.”
“Kami akan menambah baik sistem kami mengikut keperluan rakan kongsi tempatan kami dan pasaran tempatan di Indonesia” tambah Johar
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Jakarta, dihadiri Pengerusi Kennlines Capital, Bpk Mirza Whibowo Soenarto, Pengasas Bersama Kumpulan Shoraka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail dan Wan Ahmad Nazim Mohamed Noor bersama Pengarah Urusan Shoraka DV, Johar Amat.
“Kami di Shoraka DV sentiasa berusaha untuk memperbaharui lebih banyak penyelesaian digital melangkaui fintech dan ingin menjalin lebih banyak perkongsian strategik seperti ini di beberapa negara lain di seluruh dunia dengan menggunakan penyelesaian digital kami” tambah Johar.