Uncategorized

Bawa masuk pekerja asing hanya menambah masalah jenayah

PENINGKATAN pekerja asing dalam komuniti penduduk negara ini dikhuatiri akan menambah masalah sosial dan jenayah

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu kerajaan sudah membenarkan pengambilan 200,000 tenaga buruh asing terutama dari Indonesia bagi mengisi kekurangan pekerja di ladang kelapa sawit.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula menyatakan kementeriannya akan membawa masuk kira-kira 60,000 pengawal keselamatan warga asing yang menepati kriteria khas ditetapkan untuk memenuhi permintaan sektor keselamatan dalam negara.

Keputusan kerajaan untuk membenarkan warga asing daripada pelbagai negara bekerja sebagai pengawal keselamatan sangat mengecewakan.

Sepatutnya pihak kerajaan mengutamakan rakyat Malaysia dengan membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang sedang mencari sumber pendapatan tetap.

Tidak cukupkah kerajaan membuka peluang kepada pekerja asing dalam sektor pembuatan dan perladangan? Mengapa dalam hal-hal menjaga keselamatan juga perlu membabitkan warga asing?

Mengapa kerajaan mudah ‘termakan’ dengan permintaan majikan yang mengadu kekurangan pekerja dengan mengambil jalan muda mengimport buruh asing sedangkan ratusan ribu rakyat sendiri masih menganggur dan tercari-cari pekerjaan?

Kerajaan sepatutnya menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau penganggur bekerja di sektor yang tidak memerlukan kemahiran tinggi.

Pemerintah sewajarnya meningkatkan gaji minimum sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang tenaga kepada ekonomi negara. Kini, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu dilihat tidak berguna kerana ia memberi kelebihan kepada warga asing.

Pesan saya, waspadalah dengan lambakan pengawal keselamatan asing kerana kedatangan mereka boleh membuka kepada penambahan masalah sosial dan jenayah yang akhirnya memberi kesan buruk kepada pembangunan negara. – UTUSAN

PEMERHATI, Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *