
KUALA LUMPUR: Sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) kembali beroperasi selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan dan langkah pemulihan sistem dilaksanakan.
TH melahirkan rasa kesal atas serangan siber terhadap sistemnya yang menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pendeposit.
“Demi melindungi simpanan dan maklumat peribadi pendeposit, TH mengambil langkah menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran pada 8 Oktober 2026.
“TH memahami kebimbangan pendeposit khususnya mereka yang mempunyai urusan kewangan mendesak, dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
“Sejak insiden tersebut, pasukan dalaman TH telah bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara untuk menyiasat kejadian, menangani ancaman dan memulihkan sistem,” kata kenyataan TH hari ini.
TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat malah pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar.
Kata kenyataan itu, pendeposit yang mengesan sebarang transaksi atau perkara luar biasa pada akaun mereka diminta segera memaklumkan kepada TH.
“Serangan tersebut merupakan perbuatan jenayah terhadap TH dan negara yang bertujuan menjejaskan operasi serta perkhidmatan.
“TH telah membuat laporan polis dan melaporkan perkara ini kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP),” tegasnya.
Kata kenyataan itu lagi, cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai Ahad, 11 Oktober 2026 manakala semua cawangan di negeri-negeri lain dibuka seperti biasa hari ini.
Jelasnya, perkhidmatan melalui bank-bank rakan strategik TH juga telah kembali aktif.
“Bagi THiJARI, semua fungsi telah kembali beroperasi kecuali penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian.
“Ketiga-tiga fungsi ini masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum dapat diaktifkan semula. Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TH dari semasa ke semasa,” katanya.
Bagi sebarang pertanyaan, keraguan atau bantuan, sila hubungi Pusat Perhubungan TH (THCC) di 03-6207 1919.







