
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua kepada kuasa tertinggi negara, kata tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling.
Katanya, tindakan meletakkan SPRM di bawah Parlimen seperti mana terdapat cadangan sebelum ini akan menyebabkan pihak yang majoriti menguasai badan legislatif tersebut lebih condong melindungi anggota mereka yang terlibat dengan rasuah.
Beliau berpendapat cadangan terbaik adalah menjadikan SPRM sebuah badan yang mempunyai kuasa mentadbir secara bebas.
“SPRM perlu menjadi satu badan yang bebas daripada politik dan kuasa eksekutif yang mana pelantikan dibuat oleh Yang Dipertuan Agong.
“Biarkan SPRM bergerak bebas secara sendiri untuk mendakwa sesiapa sahaja tidak kira raja, pemimpin politik mahupun orang biasa,”katanya ketika dihubungi BebasNews hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr.Rais Yatim, tindakan meletakkan SPRM di bawah Parlimen boleh dibincang dan diluluskan menerusi usul di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut Rais, pembukaan usul tersebut membolehkan langkah seterusnya seperti menghurai mekanisme, implikasi, nisbah perbelanjaan dan pindaan undang-undang dapat dijalankan.
Namun cadangan Rais tersebut difahamkan mendapat komen dan ulasan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh di negara ini.
Zainal berkata, model SPRM yang dicadangkan di bawah Yang di-Pertuan Agong perlu memegang teguh konsep pembahagian kuasa yang mana pihak eksekutif seperti Perdana Menteri tidak terlibat dalam pemilihan ahli SPRM termasuk Ketua Pesuruhjaya.
“Biarlah pelantikan ahli-ahli SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agong bebas daripada pemimpin politik, agar tiada campur tangan dalam kes yang melibatkan pesalah rasuah dalam kalangan mereka.
“Kita tidak mahu lagi campur tangan pihak eksekutif dalam badan kehakiman hingga menyebabkan berlaku kepimpinan autokratik pada masa depan,”katanya.
Jelasnya lagi, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini dilihat menampilkan konsep pembahagian kuasa yang baik antara eksekutif dan kehakiman dan keadaan ini perlu diteruskan apabila SPRM berada di bawah Yang Dipertuan Agong.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada saat ini SPRM perlu diberi ruang yang selesa untuk melaksanakan tanggung jawab mereka tanpa ada lagi unsur-unsur luar yang menyekat kebebasan mereka untuk menghapuskan jenayah rasuah.
Malahan katanya lagi, jika ada anggota SPRM terlibat dengan rasuah badan tersebut sewajarnya diberi kuasa untuk mengatasi penyelewengan anggota mereka sendiri.