
PUTRAJAYA : Dua pegawai kanan dan empat pegawai berpangkat tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang terlibat dalam urusan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta Kementerian Pertahanan (Mindef).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan sembilan individu awam yang dipercayai terbabit dalam kes sama.
Menurut beliau, semua individu terbabit disyaki menyalahgunakan dana TKAT bagi kepentingan peribadi, termasuk untuk aktiviti yang tidak ada kaitan langsung dengan tujuan sebenar tabung tersebut.
“Kesemua individu disyaki menyalahgunakan dana TKAT untuk kepentingan peribadi serta aktiviti yang tidak berkaitan dengan TKAT.
“Kes ini telah disiasat sejak 7 Oktober lalu dan kini berada di peringkat akhir untuk pertuduhan. Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, Seksyen 409 dan 165 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Tambah Azam, seramai 35 orang sakai dirakam percakapan setakat ini dan kertas siastan akan dilengkapkan dalam masa terdekat untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Insya-Allah akan selesai pada minggu hadapan dan kes kertas siasatan ini dikemukakan paling lewat kepada Timbalan Pendakwa Raya ialah pada hari Jumaat minggu hadapan untuk dibuat keputusan oleh pihak pendakwa raya dan juga akan dikemukakan juga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.






