
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan kehadirannya di Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai detik penuh emosi, selepas lebih dua tahun disingkirkan daripada parti.
Khairy mendedahkan beliau terlebih dahulu mendapatkan izin daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum hadir ke majlis tersebut.
“Semalam saya bertemu Datuk Seri Zahid di majlis tahlil dan bertanya sama ada saya boleh hadir hari ini.
“Beliau kata ‘please come’, dan saya sangat berterima kasih. Jika tidak dibenarkan, saya tidak akan datang,” katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung Sayap Pemuda UMNO 2025, di sini, hari ini.
Khairy menegaskan kehadirannya kali ini bukan tanda penyertaan semula secara rasmi, sebaliknya sebagai langkah awal untuk mendekati parti.
“Hari ini sangat-sangat emosional bagi saya; saya dapat pulang ke perhimpunan parti saya. Insya Allah, perkara baik akan datang lepas ini. Hari ini saya hadir sebagai pemerhati, selangkah demi selangkah ke arah menyertai UMNO kembali,” katanya.
Bekas Menteri Kabinet itu turut memuji ucapan Dr Akmal yang berprinsip, menekankan dua perkara penting iaitu mengekalkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, dan memastikan garis merah UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak.
Khairy berharap usaha yang digerakkan Pemuda UMNO akan menyatukan orang Melayu tanpa menimbulkan ketakutan atau perpecahan kaum.
Rata-rata pemerhati melihat kenyataan Khairy sebagai isyarat positif terhadap kemungkinan beliau kembali ke pangkuan UMNO, selaras dengan gesaan Pemuda UMNO agar pintu parti dibuka semula kepada bekas pemimpin yang masih setia kepada perjuangan.
Khairy sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO dari 2009 hingga 2018, sebelum dipecat pada 2023 kerana melanggar disiplin parti susulan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Bekas Menteri Kabinet itu juga pernah mencabar jawatan Presiden UMNO, namun gagal mendapat sokongan majoriti.
Biarpun sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Zahid melalui podcast Keluar Sekejap, ketegangan antara kedua-dua tokoh politik itu dilihat semakin kendur, malah beberapa gambar yang tular menunjukkan kemesraan mereka kembali terjalin







