
PUTRAJAYA: Kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dijangka siap dalam tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian berkenaan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja proses lantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai.
“MPPK kini dalam proses pelantikan. Dari segi persiapan, sebagaimana arahan saya, kita sudah bersedia.
“Cuma menunggu mereka dilantik, kemudian kajian ini akan diselesaikan dalam tahun ini juga, sesegera mungkin,” katanya selepas Program PAKAT Prasekolah dan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1), Putrajaya, hari ini.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Fadhlina berkata, kajian ini dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan serta pandangan ibu bapa dan warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian tersebut.
“Pihak kami menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, justeru mendorong kerajaan untuk meneliti semula sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar pendidikan negara.
“Ini menandakan kerajaan mendengar permintaan dan mengambil pendekatan untuk meneliti serta mengkaji bersama sebelum membuat keputusan,” ujarnya.
Mengenai pengagihan BAP, beliau berkata kementerian menyasarkan proses itu diselesaikan dalam minggu ini, namun memberi sedikit kelonggaran kepada sekolah tertentu.
“Kita berharap dapat menyiapkan pengagihan dalam minggu ini, tetapi bagi masa lebih sedikit kepada sekolah di pedalaman dan yang mempunyai bilangan pelajar ramai supaya proses dapat diurus dengan lancar.
“Setakat ini, pengagihan BAP di seluruh negara berjalan lancar,” katanya.







