
KUALA LUMPUR : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan kedudukan serta peranan Wanita UMNO sentiasa dihormati dan kekal signifikan dalam perjalanan perjuangan parti.
Justeru, beliau berharap pergerakan itu terus berupaya melahirkan lebih ramai pemimpin wanita bagi memperkukuh dan menggerakkan agenda parti.
Menurutnya, sejak UMNO diasaskan hingga ke hari ini, Wanita UMNO sentiasa menjadi antara tunjang terpenting yang menguatkan kekuatan dan kelangsungan parti.
“Jadi apa saja yang kita buat sebagai sebuah parti, Wanita merupakan sayap yang sangat penting dalam perjuangan UMNO.
“Kita dengar tadi Ketua Wanita UMNO, dia nak lebih penglibatan wanita dalam pilihan raya (sebanyak) 30 peratus. Kita alu-alukan.
“Sebab apa yang perlu Wanita (UMNO) lahirkan ialah lahirkan ramai pemimpin wanita yang mempunyai latar belakang hebat, pengalaman dari segi apa saja bidang untuk dikemukakan kepada pemimpin UMNO. Saya sentiasa sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.






