
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Dr Muhamad Akmal berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai Exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan disandangnya ketika ini susulan gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.
Sementara itu, Ab Rauf yang hadir mendengar ucapan dasar Ketua Pemuda itu berkata, beliau menghormati keputusan Dr Muhamad Akmal dan menyifatkannya sebagai ‘cara pemuda’.
“Sebagai Ketua Menteri, saya akan menunggu surat (peletakan jawatan) secara rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita.






