
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berdepan cabaran pasaran buruh yang dinamik dan kompleks didorong oleh perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta ketidaktentuan global.
Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata kementerian akan memanfaatkan teknologi AI dan pendigitalan untuk menilai keberkesanan dasar serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
“Justeru, KESUMA perlu bergerak secara bersepadu dan responsif. Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2026-2030 yang sedang dirangka bakal menjadi panduan utama untuk menyelaraskan dasar berkaitan kemahiran, perburuhan dan perhubungan perusahaan, serta perlindungan sosial.
“Dalam masa yang sama, reformasi 26 undang-undang yang menyeluruh akan memastikan kerangka perundangan kita kekal relevan, adil dan berkesan selaras dengan standard ILO.
“Undang-undang KESUMA mesti menjamin keselamatan, kebajikan dan sokongan menyeluruh kepada setiap pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KESUMA di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini hari ini.
Ramanan menambah, KESUMA akan terus aktif di platform ASEAN dan ILO di arena global serta memanfaatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas khususnya ASEAN-Canada (ACAFTA) dan Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA).
Katanya, tumpuan kementerian adalah untuk memastikan kepentingan pekerja Malaysia dilindungi dan standard buruh negara diperkukuh serta mampan selaras piawaian antarabangsa.
Menyentuh mengenai perlindungan dan kebajikan pekerja pula, beliau berkata, KESUMA perlu menetapkan tumpuan yang jelas untuk memastikan setiap pekerja dilindungi dan memiliki kehidupan yang bermaruah.
“Dalam hal ini, kita akan menggerakkan beberapa inisiatif utama antaranya pengukuhan tadbir urus buruh dan penguatkuasaan, kajian semula perintah gaji minimum, pemerkasaan perlindungan sosial, peningkatan keharmonian perusahaan, pemerkasaan kesatuan sekerja dan pengukuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
“Selain itu, kita akan mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama mobiliti sosial dan laluan arus perdana dengan sasaran mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Beliau menambah, KESUMA akan melaksanakan inisiatif utama dalam merealisasikan sasaran tersebut termasuk revolusi dan pemerkasaan ekosistem TVET, latihan kemahiran inklusif dan bersasar dan pengukuhan rantaian bakat negara.
Katanya, di bawah teras Kemahiran Diperkasa, HRD Corp akan terus memperkukuh pembangunan modal insan dengan kelulusan bantuan latihan berjumlah RM2.62 bilion pada tahun 2025 melibatkan lebih 2.8 juta tempat latihan di seluruh negara, khususnya dalam sektor strategik seperti pembuatan dan ekonomi digital.
“Pada tahun ini, tumpuan akan diberikan kepada peluasan penyertaan PKS, peningkatan kualiti dan keberhasilan latihan serta pemerkasaan inisiatif inklusif.
“Ia agar pembangunan kemahiran benar-benar menyokong pekerjaan bernilai tinggi, produktiviti nasional dan pertumbuhan ekonomi yang berdaya maju,” katanya.
Ramanan menjelaskan, setiap dasar dan inisiatif KESUMA memerlukan penambahbaikan berterusan, berpaksikan keperluan rakyat, dan bertujuan memperkasa posisi Malaysia sebagai hab sumber manusia yang berdaya saing.
Katanya, pendekatan KESUMA perlu melangkaui keperluan ekonomi iaitu memperluas keupayaan rakyat untuk hidup dan bekerja dengan bermaruah




