
SEPANG: Peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan 2.0 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menyifatkan ia sebagai hadiah paling besar dan bermakna untuk permulaan 2026.
Kesemua 91 peserta program menerusi kerjasama Yayasan Imanul Faizin dan Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6 pagi, hari ini selepas berangkat menunaikan umrah pada 4 Januari lalu.
Seorang peserta program, Anis Najwa Zusaimi menzahirkan kesyukuran kerana berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah pada usia muda.

“Sejujurnya, daerah saya tidak terlibat tetapi saya hanya mencuba nasib kerana percaya ibadah umrah ini adalah panggilan daripada Allah.
“Sepanjang berada di tanah suci, saya mempelajari banyak perkara kerana mutawaif sangat membantu dalam memberi penerangan terperinci kepada kami.
“Ini merupakan hadiah paling besar untuk pembukaan tahun 2026. Terima kasih Andalusia,” katanya ketika ditemui di KLIA.
Program itu disertai 50 wanita dan 41 lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun yang memenuhi syarat ditetapkan antaranya individu lahir di Kelantan, belum berkahwin serta belum pernah menunaikan umrah.

Seorang lagi peserta, Muhammad Rahimi Mohd Ezani mengakui tidak menjangka berpeluang menunaikan ibadah umrah itu dan ia antara nikmat terbesar pernah dirasai sepanjang hidup.
“Tidak dapat lupa apabila pertama kali melihat kaabah, hati terasa sangat sayu. Tahun 2026 saya dimulakan dengan hadiah terbesar ini. Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, pengiring program, Dr Kapten Muhaidi Al Hafiz berkata, pengisian program adalah berbeza berbanding pakej umrah disediakan kerana ia melibatkan anak-anak muda yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci.
Katanya, mereka juga dipilih menerusi proses tapisan khusus termasuk proses temu duga.
“Saya berharap program ini akan diteruskan kerana berdasarkan maklum balas yang diterima, ia sangat positif.
“Sebelum ini, pada 2024 jumlah peserta agak kecil dan kali ini 2.0 jumlah itu terus meningkat dan sasaran Andalusia adalah seramai 200 orang.
“Apa pun keputusan untuk program 3.0, ia bergantung kepada Andalusia,” katanya.

Seorang lagi pengiring, Datuk Seri Dolah Ali menyifatkan program itu sebagai berjaya kerana jumlah itu bertambah kepada 91 berbanding sekitar 70 orang sebelum ini.
Beliau berkata, pemilihan peserta termasuk keperluan untuk solat berjemaah selama 20 hari Masjid Imanul Faizin tetapi ia masih belum mencukupi untuk mereka dan masih ada perkara yang boleh diperbaiki.
“Semasa di tanah suci, saya nampak perubahan mereka termasuk kejayaan berada di masjid pada awal waktu dan kami berharap mereka boleh mengekalkan momentum menerusi program ini selepas pulang ke kampung halaman.
“Saya harap 3.0 nanti akan bertambah lagi para peserta malah saya gembira kerana Andalusia terlibat dengan perkara ini berikutan tiada lagi agensi lain terlibat dalam program seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Mutawif program, Mohd Riduan Che Long berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam program kali ini agak berbeza tetapi semuanya berjalan dengan lancar daripada awal hingga akhir.
Beliau berkata, harapan Andalusia adalah untuk melihat program dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana ia merupakan hadiah yang bermakna kepada para peserta.
“Cabaran program ini adalah para peserta tidak memiliki pengalaman tetapi ada tenaga berbanding umrah lain apabila terdapat para jemaah berpengalaman.
“Jadi untuk program ini, saya kena pastikan para peserta sentiasa bersama sepanjang menjalani ibadah kerana kalau terpisah mereka tidak tahu hendak ke mana.
“Saya berharap, program ini akan diteruskan tetapi bila ia akan diadakan semunya bergantung kepada Andalusia,” katanya.








