
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak bongsu bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang berusia 12 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, laporan sebelum ini yang mendakwa agensi itu menyerahkan notis berkenaan kepada kanak-kanak terbabit serta menuntut kehadirannya secara fizikal adalah tidak tepat.
Menurut beliau, SPRM menggunakan pertimbangan budi bicara yang munasabah dalam mengecualikan kanak-kanak berkenaan daripada menerima notis itu.
“Saya ingin maklumkan di sini berkenaan isu penyerahan notis kepada anaknya yang berusia 12 tahun itu, sebenarnya pihak kami tidak menyerahkan notis kepada kanak-kanak berkenaan.
“Walaupun di bawah undang-undang tidak disebut secara khusus perundangan berkenaan dengan kategori umur (dewasa atau kanak-kanak) bagi terma saudara atau sekutu, kita menggunakan budi bicara dan istilah munasabah, maka kita putuskan untuk tidak menyerahkan notis itu kepada anak beliau yang berumur 12 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Mengulas kehadiran kanak-kanak terbabit ke ibu pejabat SPRM pada Isnin lalu, Abd Halim berkata, pihaknya tidak pernah mengarahkan kanak-kanak itu hadir secara fizikal.
“Tidak, itu tidak dikatakan datang secara fizikal (dipanggil)… lebih kepada ibu bapa yang bawa anak-anak dia.
“Mungkin nak tinggalkan di rumah tak ada orang dan sebagainya, jadi maknanya bawa datang itu biasalah,” katanya.
Pada Isnin lalu, Saravanan bersama isteri dan dua anaknya dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menerima notis pengisytiharan harta.
Kehadiran anaknya mencetuskan polemik susulan persepsi bahawa SPRM turut menuntut kehadiran fizikal kanak-kanak berkenaan.
Sementara itu, Abd Halim menjelaskan notis pengisytiharan harta tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 36(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA), bukannya di bawah Akta SPRM.
Beliau berkata, tempoh asas yang diberikan kepada mana-mana individu untuk membuat pengisytiharan harta selepas menerima notis ialah sebulan.
Bagaimanapun, katanya, SPRM boleh memberikan lanjutan tempoh sewajarnya sekiranya tempoh berkenaan tidak mencukupi atas alasan munasabah, tertakluk kepada permohonan.
Notis berkenaan dikeluarkan susulan siasatan berterusan SPRM terhadap Saravanan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Tapah itu berdepan tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.





