
KUANTAN: Pengulas sukan, Abu Bakar Atan dan penyanyi Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng Spring, kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Kedua-duanya antara 32 penerima DIMP yang dikurniakan baginda dalam istiadat di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.
Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat berkenaan yang turut dihadiri Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Penyelia Padang Kelab Polo Diraja Pahang, Tengku Suleiman Tengku Abdul Rahman; Tengku Akashah Tengku Hussain dan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang (Daerah Rompin), Datin Samsiah Arshad turut menerima DIMP.
Turut dikurniakan darjah berkenaan ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab serta Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain.
Penerima lain ialah Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri II, Mohammad Faizal Abdul Rahim; Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sumber Manusia, Firdaus Farid Abd Rashid; Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Mohd Nor dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.
Bekas pemain bola sepak negara, See Kim Seng turut menerima DIMP.
Dalam istiadat sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin mendahului senarai penerima darjah kebesaran dengan menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Enam lagi penerima SSAP ialah Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Institut Jantung Negara (IJN), Prof Datuk Dr Suhaini Kadiman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Shamsul Ahmad; Pengarah Eksekutif Kumpulan Engtex Group Bhd, Datuk Ng Chooi Guan dan Pengerusi serta Pengarah Eksekutif Far East (Melaka) Sdn Bhd, Datuk Ling Kah Chok.
Turut menerima SSAP ialah Pengarah Low Capital Sdn Bhd, Prof Dr Kevin Low Lock Teng dan Pengerusi Palz Group of Companies, S S Sathiaseelan.
Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada 11 penerima, antaranya bekas pemain dan jurulatih badminton kebangsaan, Sairul Amar Ayob.
Turut menerima DSAP ialah Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Datuk Anita Mohamed Shafie; Peguam Cara Perbendaharaan Bahagian Undang-Undang Kementerian Kewangan, Kamal Azira Hassan; Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar dan Timbalan Akauntan Negara (Operasi) Jabatan Akauntan, Ayub Zaidin.
Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada lima penerima, termasuk Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi.
Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) pula dikurniakan kepada seorang penerima, manakala dua individu menerima Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).







