
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium menganjurkan Pameran Khazanah Kars Malaysia di Muzium Negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan gua dan kawasan kars sebagai warisan semula jadi negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran bermula hari ini hingga 31 Dis itu mengetengahkan keajaiban geologi, biodiversiti, penemuan arkeologi serta nilai sejarah dan budaya di sebalik gua dan batuan yang terbentuk sejak jutaan tahun di negara ini.
Beliau menambah kawasan gua dan batuan kars bukan sekadar formasi alam semata-mata, sebaliknya tersimpan jejak kehidupan, sejarah dan warisan yang membentuk cerita bumi Malaysia.
“Pameran ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan gua dan kawasan kars sebagai warisan semula jadi negara yang mempunyai nilai geologi, biodiversiti dan arkeologi, di samping memperkukuh usaha pemeliharaannya untuk kepentingan sains, pendidikan, sejarah, budaya dan pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Aaron berkata kerajaan sentiasa komited untuk menghidupkan fungsi muzium sebagai ruang ilmu, sekali gus memastikan khazanah negara kekal relevan serta dapat dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Beliau menyeru orang ramai supaya mengambil peluang mengunjungi pameran berkenaan bersama keluarga bagi meneroka serta menghargai warisan negara yang unik itu.
“Ajak keluarga dan kawan-kawan, selami khazanah yang terbentuk sejak jutaan tahun lalu dan temui sisi Malaysia yang mungkin belum pernah anda kenali.
“Datang, teroka, hargai, pelihara kerana khazanah ini milik kita bersama,” katanya.






