Suburkan Perpaduan Uniti Kebangsaan


MEMBESAR dan berjaya sebelum dan selepas era kemerdekaan bukan suatu yang mudah dicapai, namun bagi  tokoh pendidikan, Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing membuktikan tekad dan semangat juang yang tinggi membolehkannya berjaya dalam kerjaya serta kehidupan.

Anak yang dibesarkan dari perkampungan kecil di Ipoh, Perak ini tidak pernah menjadikan kesusahan sebagai halangan untuk mengejar impiannya sehingga berjaya membuka empayar perniagaannya dengan menubuhkan Universiti Limkokwing yang terletak di Cyberjaya termasuk beberapa kampus cawangannya di negara-negara Afrika seperti, di Botswana, Lesotho,Swaziland, Sierra Leone, Uganda, Namibia dan Rwanda dan diseluruh dunia.

Kok Wing antara nama besar dalam persada pendidikan Malaysia dan antara tokoh yang membantu mengubah lanskap pendidikan dan pentadbiran ketika bergandingan dengan beberapa Perdana Menteri dan pemimpin utama Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini. Beliau terlibat dan berperanan merangka gerak kerja untuk Malaysia dan membantu kerajaan mempromosi dan menganjurkan program dan kempen-kempen bina bangsa dan perpaduan. Tokoh ini dikenali sebagai seorang pemimpin pendidikan yang bersifat pragmatik, kreatif, inovatif, berani, analitik dan berfikiran strategik.

PERPADUAN KEBANGSAAN

Sempena Hari Kebangsaan yang disambut pada setiap 31 Ogos di negara ini ia adalah lambang menandakan Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1782 sehingga 1957.

Menurut Lim Kok Wing yang dilahirkan sebelum era kemerdekaan, pembebasan penjajahan itu menandakan kebebasan rakyat Malaysia atas nikmat kesyukuran dengan nilai-nilai kebersamaan dan perpaduan kaum yang  dipupuk sejak sekian lama sebelum dan selepas kemerdekaan dan perlu disuburkan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jelasnya, perpaduan hari ini melambangkan keharmonian kaum dan ia merupakan isu penting yang mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara.

“Hari ini rakyat Malaysia perlu bersyukur, kerana dasar kerajaan Malaysia yang berusaha meningkatkan nilai-nilai perpaduan, mewujudkan masyarakat yang bersatu dan bertolak ansur dan menghormati pegangan agama dan adat resam orang lain. Ini kerana ia merupakan intipati merintis ke arah perpaduan kaum yang menjadi tulang belakang negara ini selama ini.

“Pemimpin Malaysia yang berinpirasi dan berprihatin pada rakyat sejak daripada kemerdekaan negara dulu lagi perlu sentiasa berpandangan jauh serta merangka program yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama dengan harapan perpaduan dan sikap toleransi antara kaum sentiasa subur di negara ini,” kata Kok Wing.

DASAR-DASAR PEMBANGUNAN KERAJAAN

Kok Wing menjelaskan, hari ini hasil daripada dasar-dasar pembangunan kerajaan yang berusaha untuk mengekalkan perpaduan kebangsaan, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan unik ini bebas ke mana-mana, ke pusat membeli belah, pasar-pasar, pusat reakreasi dan tempat-tempat awam tanpa ada rasa kebimbangan antara satu sama lain.

“Keunikan ini yang ada di Malaysia tidak ada di negara lain dan perlu dikekalkan untuk generasi Malaysia pada masa depan. Sebagai contoh usaha untuk menyapadukan rakyat berbilang bangsa, Universiti Limkokwing turut diberi amanah dan tanggungjawab oleh kerajaan memainkan peranan yang besar dalam membantu mempromosi Malaysia atas keunikan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Antaranya, mempromosi lagu 1Malaysia, 1M4U, International Day For Tolerance, Kami Anak Malaysia.

Selain itu, Limkokwing Cultural’s Festival’, Malaysia Bersatu, Kempen Malaysia Boleh, Malaysia Kita,”katanya.

SEMANGAT PATRIOTISME

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, sebagai rakyat, rasa kesetiaan, kecintaan dan bersyukur dengan apa yang dinikmati bukan suatu kerugian, sebaliknya manifestasi kepada wajah dan keperibadian terhadap negara. Semangat patriotisme, seharusnya dipupuk sejak tadika, sekolah sehingga ke universiti.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berketurunan Cina, saya berbangga dilahirkan di sini. Kepelbagaian budaya dan keturunan di Malaysia mewarnai perpaduan dan semarak patriotisme. Perbezaan harus diraikan. Bukan menjadi titik kepada perselisihan. Walaupun pemikiran rasis masih membayangi pemikiran rakyat negara ini, namun dalam kebanyakan hal kehidupan, kita sebagai rakyat Malaysia masih menerima kebersamaan untuk hidup saling menghormati.

“Walaupun apa bangsa dan keturunan sekalipun, kesetiaan kepada raja dan negara kelahiran adalah benteng pegangan rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang, Kesopanan dan kesusilaan.

“Setiap rakyat yang bernama Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik perlu  saling hormat-menghormati di negara ini. Ibarat kata, lautan mana tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Malaysia ibarat sebuah lukisan dan  rakyat itu seniman yang melukiskannya. Sayangilah negara kita,”katanya.

LIM KOK WING (tengah) bersama sebahagian daripada pelajar antarabangsa Universiti Limkokwing

MENGHARUMKAN NAMA MALAYSIA

PELAJAR Universiti Limkokwing yang berlatarbelakang kepelbagaian kaum menerima kebersamaan untuk hidup saling menghormati.

Jelas Kok Wing, sebagai anak merdeka Malaysia, beliau telah melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. “Itu tandanya kasih sayang saya pada Malaysia, Nama Malaysia begitu sinonim di seluruh dunia termasuk di Afrika atas kejayaan dan peranan Universiti Limkokwing.  Universiti Limkokwing ialah lambang negara Malaysia dan Malaysia pula adalah Limkokwing. Pelbagai anugerah telah diterima oleh  Universiti Limkokwing baik diperingkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *