
KUALA LUMPUR: Seorang pesara menyaman Malaysia Airlines Bhd (MAB) bagi menuntut semula RM8,460 dibelanjakannya untuk tiga tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Auckland, yang dibatalkan pada 2020 akibat pandemik Covid-19.
R Sivanaeswaran, 76, yang memfailkan saman itu di Mahkamah Majistret Shah Alam bulan lalu berkata, berdasarkan pemahamannya, semua tiket boleh mendapat bayaran balik dan keengganan berbuat demikian melanggar dasar awam.
Dia mahu mahkamah memasukkan faedah lima peratus ke dalam jumlah pokok RM8,460 sehingga jumlah penghakiman diselesaikan. Sivanaeswaran turut menuntut RM5,000 sebagai ganti rugi am, RM5,000 untuk kos guaman, kos serta relief lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Dalam writ dan pernyataan tuntutan difailkan peguamnya, R Kengadharan & Co, Sivanaeswaran berkata, dia membeli tiket itu menggunakan kad kredit pada 2 Mac 2020 untuk melawat ahli keluarganya di New Zealand pada 10 April tahun sama.
Anaknya Shamin Nisha dan cucunya Laxmesha Shankar dijadualkan menaiki penerbangan itu bersamanya.
Beliau berkata, MAB sebagai entiti di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) perlu memenuhi tanggungjawabnya sebagai penyedia pengangkutan selepas menjual tiket.
Sivanaeswaran berhujah menjadi tanggungjawab MAB untuk melaksanakan obligasi kontraktualnya secara munasabah kerana dasar tiada pemulangan wang bertentangan dasar awam dan moraliti, menurut pernyataan tuntutan itu.
Katanya terdapat kekurangan penghargaan terhadap tujuan perjalanan apabila defendan mendakwa Covid-19 dianggap ‘keadaan luar biasa’ di bawah Artikel 3.2.5 dalam Syarat Am Pengangkutan.
Plaintif berkata MAB dengan berhati-hati dan bijak mengalihkan musibah itu ke atasnya dan menambah tiada keadaan luar biasa yang membebaskan MAB daripada tanggungjawab sepenuhnya.
“Malah, istilah ‘keadaan luar biasa’ yang digunakan tidak merangkumi peninggalan atau penyelesaian yang dicipta defendan. Oleh itu, MAB tidak dapat terkecuali daripada tanggungjawab,” menurut pernyataan tuntutan itu.