
KUALA LUMPUR : Setiap agensi penyiaran dan pihak industri media perlu mengambil langkah proaktif dengan menambah baik serta memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat dalam proses penyiaran dan penerbitan bagi memastikan keharmonian dalam media sosial.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, SOP berkenaan perlu memberi penekanan terhadap kawalan kandungan supaya tiada elemen jelik, fitnah, penghinaan atau sebarang bahan yang boleh menggugat ketenteraman awam, terutamanya berkaitan isu 3R (agama, kaum dan raja).
“Seniman percaya dengan adanya SOP yang lebih menyeluruh dan penguatkuasaan yang konsisten, ia dapat mengekang penyebaran kandungan negatif di semua platform termasuk siaran langsung, rakaman, media cetak mahupun media digital,” katanya ketika dihubungi Ceritera.
Tambah Rozaidi, masyarakat awam turut perlu memainkan peranan penting dalam membanteras perlakuan jelik dalam industri seni dan hiburan.
“Selain tanggungjawab pihak berkuasa dan penggiat industri, orang ramai perlu lebih peka dan berani untuk menegur serta melaporkan sebarang tingkah laku yang tidak bermoral.
“Mesej kesedaran ini penting agar masyarakat tidak hanya menjadi penonton tetapi turut sama memastikan industri ini bersih, sihat dan menghormati nilai-nilai murni.
“Dengan kesedaran awam yang tinggi, ia dapat membantu mewujudkan persekitaran hiburan yang lebih positif dan bebas daripada unsur-unsur negatif, jelasnya.
Sementara itu, apabila ditanya berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap tiga penyampai radio yang tular melanggar sensitiviti kaum, beliau berpendapat tindakan agensi berkenaan adalah wajar dan tegas untuk memastikan etika serta tatasusila dalam penyiaran radio sentiasa terjaga.
“Ia boleh menjadi pengajaran penting kepada penyampai radio dan stesen radio lain supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat atau membuat kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat.
“Selain itu, tindakan ini juga menyedarkan semua pihak agar mematuhi garis panduan komunikasi dan menghormati nilai budaya serta norma masyarakat Malaysia. Kesannya, penyampai dan stesen radio akan lebih bertanggungjawab dan profesional dalam setiap penyiaran mereka,”ujarnya.