
KUALA LUMPUR: Serangan terhadap mereka yang berusaha menyampaikan bantuan kemanusiaan adalah jenayah yang tidak boleh diterima dan perlu dikecam oleh seluruh masyarakat dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau merakamkan rasa dukacita dan takziah terhadap insiden tragis yang menimpa beberapa petugas kemanusiaan di bawah seliaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam kejadian Sabtu lepas.
Beliau berkata, tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan.
“Tindakan Israel ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im menegaskan, agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri akan terus membantu Palestin dan pada masa sama dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan ini, yang hanya menambah penderitaan rakyat Palestin yang sudah sekian lama tertindas.
Justeru, beliau menggesa supaya rakyat Malaysia terus berdoa serta membaca Qunut Nazilah demi kemenangan Palestin dan terus memberi sokongan kepada perjuangan mereka.
“Kita perlu bersatu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban hidup saudara-saudara kita di Gaza yang semakin terhimpit dengan kezaliman yang berterusan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta semua petugas kemanusiaan yang berjuang demi membantu mereka,” katanya.
Sabtu lepas, lapan petugas kemanusiaan MAPIM maut dalam serangan udara olen rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, serangan berlaku pukul 1.30 tengah hari, ketika petugas berkendan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akilbat serangan berterusan Israel.
Lapan petugas kemanusidan terkorban dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan kesemuanya ialah warga Palestin.