
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan warga emas menampar pemuda Cina beberapa kali kerana makan pada siang Ramadan di sebuah pusat beli-belah akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya sebelum Jumaat ini.
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata semalam lelaki berusia 65 tahun itu dipanggil memberi keterangan.
Katanya, selain itu beberapa saksi termasuk anak kepada warga emas itu juga diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.
“Polis merakamkan percakapan mangsa semalam dan mangsa juga dihantar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.
“Keterangan doktor akan dirakamkan sebelum kertas siasatan dirujuk atas nasihat timbalan pendakwa raya,” katanya.
Kumar berkata, pihaknya memohon masyarakat berhenti mencetuskan spekulasi berhubung isu terbabit yang disifatkan sebagai kes terpencil.
Sebelum ini, mangsa dikenali sebagai Elijah membuat laporan di Balai Polis Tampoi berhubung insiden di Johor itu.
Mangsa menerusi hantaran di X, mendakwa kejadian berlaku ketika dia ingin menikmati makanan di sebuah pusat beli-belah sebelum warga emas terbabit bertanyakan kepadanya sama ada dia Islam atau tidak.
Katanya, lelaki itu kemudiannya meminta untuk melihat kad pengenalan sebelum menamparnya beberapa kali sebelum anak kepada warga emas itu cuba menenangkan keadaan dan memohon maaf berhubung tindakan bapanya.