
SUBANG JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memberi jaminan kepada penduduk di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, bahawa bantuan akan disalurkan pada hari Isnin, seperti yang diumumkan sebelum ini.
Amirudin memberitahu perkara itu kepada penduduk yang terjejas di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di sini, selepas sesi taklimat kepada Baginda di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pagi tadi.
“Kita akan salur pada Isnin, sekarang senarai nama kita dah kenal pasti, Insya Allah selesai.
“Rumah hari itu kita dah kenal pasti 100 unit rumah, kalau perlukan, nanti Isnin kita bagitahu untuk dapat penempatan sementara,” katanya.
Beliau berkata, proses untuk menggantikan dan membaiki rumah mungkin mengambil masa bergantung kepada tahap keselamatan di lokasi kejadian.
“Lepas itu kita akan gantikan rumah dan atau baiki rumah itu, ia mungkin mengambil masa bergantung kepada tempat itu dan polis kena cakap (sahkan) selamat dulu.
“Nanti petang ini saya ada mesyuarat, esok pagi atau malam ini saya cari masa kita akan beri taklimat.
“Sebab di PPS kita dah beri taklimat dah, mungkin saudara (segelintir mangsa) tidak tinggal di PPS,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan 30 hingga 40 penduduk iaitu mangsa lokasi letupan paip gas menyuarakan rasa kurang senang dan memohon agar bantuan segera dapat disalurkan kepada mereka ketika kunjungan Yang di-Pertuan Agong.
Baginda bertemu penduduk serta mendengar luahan penduduk berhubung tuntutan mereka.
Yang turut hadir Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Kelmarin, Amirudin dalam satu sidang media memaklumkan bantuan awal yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing sebanyak RM2,500 dan RM5,000 akan mula disalurkan Isnin ini.