UiTM Martabatkan Pendidikan Melayu: PM Anwar Ibrahim Yakin UiTM Terus Maju di Persada Dunia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinannya terhadap peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam memperkasakan pendidikan Melayu dan bumiputera, yang menurutnya telah memberikan peluang kepada golongan tersebut untuk berdikari dan mencapai kejayaan.
Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Malam Gala Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Anwar menegaskan bahawa UiTM telah berjaya mengekalkan serta memartabatkan citra bumiputera dalam arus pendidikan moden.
“UiTM bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah telah mengukir nama di peringkat antarabangsa. Antara pencapaian terhebat adalah kedudukan UiTM pada tangga ke-587 dalam QS World University Rankings 2025 dan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024. Kejayaan pelajar UiTM yang mencatat skor tertinggi dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) juga merupakan bukti kejayaan kita,” kata Anwar.
Beliau turut menzahirkan keyakinannya bahawa UiTM akan terus mencipta kejayaan dan memperkenalkan inisiatif-inisiatif inovatif seperti Memasyarakatkan Kecerdasan Buatan, yang relevan dengan peredaran masa. Perdana Menteri menekankan bahawa kejayaan ini hanya dapat dicapai dengan semangat ‘Jiwa Merdeka’ dan usaha gigih semua pihak.
Anwar turut mengingatkan bahawa walaupun UiTM telah mencapai banyak kejayaan, semua pihak harus terus bekerja keras dan tidak berasa selesa dengan pencapaian yang ada. “Kemakmuran yang kita kecapi hari ini bukanlah datang secara kebetulan, tetapi melalui usaha gigih dan keikhlasan semua pihak dalam membangunkan negara,” katanya.
Majlis yang dihadiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, turut menyaksikan Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM menandatangani plak perasmian Monumen Hasrat sempena 25 tahun penubuhan UiTM sebagai sebuah universiti.