
KUALA LUMPUR: Golongan wanita kini memonopoli penempatan kerjaya dalam industri pendidikan dan kesihatan menerusi MYFutureJobs.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendedahkan industri profesional, saintifik dan teknikal yang dikenal pasti menawarkan kadar upah kedua tertinggi turut dipelopori wanita.
Dapatan menerusi perangkaan portal pekerjaan negara seliaan PERKESO bagi tempoh 2020 hingga 28 Februari lalu itu turut menyaksikan sebanyak 578,491 wanita ditempatkan di pelbagai industri yang memacu produktiviti negara.

“Usaha ini mencerminkan komitmen PERKESO menerusi MYFutureJobs untuk membantu pencari kerja, termasuk wanita supaya berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran untuk ditempatkan di pelbagai sektor serta industri.
“Meskipun data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan penganggur di Malaysia menyusut kepada 533,800 orang pada Januari 2025, usaha berterusan perlu digarap bagi memastikan angka ini terus merekodkan pola penurunan.
“Justeru, PERKESO sebagai tonggak kepada pelaksanaan program rangsangan pasaran buruh terus komited membantu mengurangkan kadar pengangguran negara,” menurut PERKESO dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, seramai 24,487 wanita berjaya ditempatkan di industri pendidikan berbanding 9,600 lelaki bagi tempoh antara 2020 hingga 28 Februari lalu, manakala 27,415 wanita mendapat pekerjaan di industri kesihatan berbanding 10,486 lelaki.
Bagi industri profesional, saintifik dan teknikal pula, seramai 29,906 wanita ditawarkan pekerjaan berbanding 29,784 lelaki, bagi tempoh sama.
Dalam pada itu, penganjuran EmpowerHer Career Fair selama dua hari menyediakan 5,000 kekosongan jawatan melibatkan 38 majikan dari dalam dan luar negara.
Jawatan seperti pengurus projek, pengurus perkhidmatan dan konsultan teknikal dengan gaji lumayan antara RM13,000 hingga RM16,000 merupakan antara kekosongan ditawarkan sempena karnival kerjaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini.

Antara majikan yang terlibat adalah Jabatan Peguam Negara, Malaysia Aviation Group (MAG), Air Asia, Airbus Helicopters Malaysia, Baker Hughes, IHH Healthcare Malaysia, UiTM Private Specialist Centre dan Robert Bosch Sdn. Bhd.
Lebih menarik, peluang pekerjaan dengan aturan kerja anjal (FWA) turut disajikan sebagai usaha menyokong penyertaan wanita dalam dunia kerjaya. 2 keterangan lanjut, anda boleh layari laman web Untuk www.myfuturejobs.gov.my.