
HULU SELANGOR: Sekurang-kurangnya 10 buah rumah rosak akibat ribut dan hujan lebat yang melanda Kampung Seberang, Felda Gedangsa, Hulu Bernam, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, bahagian belakang dua daripada kediaman terbabit dihempap pokok tumbang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor, Leftanan (PA) Mohd Faizal Mohd Sharif berkata, sepasukan tiga anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian.
“Hasil pemantauan mendapati rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bumbung. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal.
“Kerja mengagihkan pokok tumbang kemudian dijalankan pasukan penyelamat bersama penduduk kampung,” katanya.
Mohd Faizal berkata, sebatang pokok dapat dialihkan manakala sebatang lagi disambung hari ini susulan keadaan cuaca yang gelap dan berisiko.