
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika membantu seorang penunggang motosikal yang juga terkorban dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata terdahulu dalam insiden kira-kira jam 2.10 pagi, penunggang motosikal terbabit yang juga seorang warga Myanmar berusia 30-an dipercayai terbabas sendiri.
“Motosikal jenis SYM BX110 yang ditunggang mangsa dilaporkan berada di lorong kanan menghala ke Taman Setia Tropika sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Mangsa yang terjatuh ke atas jalan raya mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun kemudian datang membantu penunggang motosikal itu dengan menjaga mangsa daripada lalu lintas, sebelum datang sebuah kereta jenis BMW dan melanggarnya pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lelaki itu sedang melalui lokasi berkenaan dengan menaiki sebuah kereta ketika kejadian sebelum berhenti untuk membantu penunggang motosikal terbabit.
Susulan rempuhan itu, Mohd Sohaimi berkata, lelaki berkenaan parah di bahagian dalaman dan turut disahkan meninggal dunia di lokasi.
Katanya, pemandu BMW terbabit pula adalah seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mengalami kecederaan ringan di bahagian muka akibat kemalangan itu, dan hasil siasatan mendapati dia disyaki memandu bawah pengaruh alkohol.
“Pemandu kereta itu kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.