
KOTA BHARU: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan banyak syarikat yang melaksanakan projek berskala besar sehingga membabitkan nilai berbilion ringgit di seluruh negara melakukan kegiatan mencuri air terawat bagi mengaut keuntungan berganda.
Setiap tahun, purata kes dikesan sebanyak 100 kes dengan 40 peratus daripadanya dibawa ke mahkamah untuk proses pendakwaan.
Tindakan itu menyebabkan bukan saja pengguna lain menghadapi masalah kekurangan bekalan air, malah operator air turut berdepan kerugian besar dengan ada kes mencecah RM500,000.
Timbalan Pendakwa Raya SPAN, Mohd Suhairy Zakaria, berkata kebanyakan syarikat yang mendalangi perbuatan menyalahi undang-undang itu adalah dari luar negara.
“Purata 100 kes itu membabitkan projek kecil sehingga berskala besar, namun isu ini semakin serius dengan kebanyakan syarikat besar dari luar negara melakukan kegiatan ini.
“Nilai projek mereka bukan sedikit, sebaliknya mencecah berbilion ringgit. Disebabkan mahu mengaut keuntungan semaksimum mungkin, mereka sanggup mencuri air untuk kegunaan projek pembinaan yang dilakukan,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Suhairy berkata, taktik syarikat berkenaan juga licik apabila mereka tetap membuka akaun bekalan air sementara untuk projek berkenaan sehingga projek itu siap.
“Bagaimanapun di sebalik itu, mereka melakukan penyambungan dengan menarik air terawat tanpa lesen demi mengaut keuntungan berganda.
“Perkara ini dikesan apabila bil air syarikat untuk projek itu hanya membabitkan beberapa ratus saja sebulan sedangkan kita tahu penggunaan air mereka adalah tinggi.
“Perbuatan itu bukan hanya menyebabkan operator syarikat negeri menanggung kerugian puluhan ribu hingga setengah juta, malah ia memberi kesan kepada pengguna lain yang akan berdepan masalah ketiadaan bekalan air,” katanya.
Justeru, katanya, bagi menangani masalah semakin serius, pihaknya meningkatkan penguatkuasaan dan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air (pindaan) 2025 yang berkuat kuasa 15 Mac lalu.
Katanya, jika sebelum ini menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, hukuman dikenakan adalah denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, namun menerusi pindaan itu, denda dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.