
KUANTAN: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun kerugian lebih RM2.61 juta selepas terpedaya dengan pelaburan emas tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita terbabit menyertai pelaburan emas yang diperkenalkan oleh suspek melalui Facebook pada 20 Februari tahun lalu.
Katanya, mangsa diberikan satu pautan untuk dimasukkan dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai Kelas Pertengahan Elit Malaysia 3.
“Dalam kumpulan itu, mangsa diberikan latihan untuk mengendalikan pelaburan emas. Mangsa mula membuat pelaburan dengan tiga aplikasi yang diberikan oleh suspek.
“Sepanjang tempoh dari 18 April hingga 9 Disember tahun lalu, mangsa membuat pemindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM2,612,203 dengan 60 transaksi kepada dua akaun bank.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua aplikasi pelaburan gagal diakses dan wang keuntungan yang dijanjikan tidak diterima.
“Sumber kewangan daripada simpanan sendiri, wang mendiang suami, hasil jualan rumah dan pinjaman daripada anak mangsa yang menetap di luar negara.
“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes iu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.