
KLANG: Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai terbabit kes penculikan seorang remaja perempuan dalam kejadian di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, suspek berusia 21 tahun memandu kereta jenis Proton Wira yang dikesan digunakan menurunkan mangsa di satu lokasi di Sendayan selepas wang tebusan dibayar.
Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek enggan memberhentikan kenderaannya selepas diarahkan, sebaliknya bertindak merempuh kenderaan polis dan melepaskan tembakan ke arah anggota yang mengejarnya.
“Suspek dapat dipintas sebelum ditembak mati di tempat kejadian. Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan sepucuk pistol dan sebilah parang,” katanya.
Fadil berkata, remaja perempuan berusia 16 tahun itu diculik pada pukul 5.45 petang, 10 April lalu di Seremban sebelum keluarganya menerima tuntutan wang tebusan sebanyak RM2 juta.
Namun, beliau berkata, keluarga mangsa hanya membayar RM280,000 bersama sejumlah barang kemas sebelum mangsa dibebaskan keesokan harinya di Sendayan pada pukul 8.30 malam.
Katanya, hasil siasatan dan maklumat orang awam membawa kepada beberapa siri serbuan dan tangkapan berkaitan kes berkenaan.
“Lelaki ini adalah seorang daripada suspek yang dikenal pasti terbabit kes penculikan ini.
“Selain itu, ada beberapa serbuan dan tangkapan yang kita buat sejurus selepas kejadian, kita masih meneruskan siasatan,” katanya.