
PUTRAJAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 tidak dapat diakses pengguna jalan raya ketika tempoh penutupan jalan sementara bagi esok dan Khamis ini, sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam hantaran Facebook rasminya berkata, balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta KLIA Terminal 2 juga akan ditutup kepada kenderaan.
“Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1. Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya,” katanya,
Penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan esok bermula pukul 6 petang hingga pukul 7 malam dan pada Khamis ini dari pukul 8.50 pagi hingga pukul 9.50 pagi membabitkan Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Sehubungan itu, MAHB menasihatkan semua penumpang merancang perjalanan mereka ke dan dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelak kelewatan.
Sebagai alternatif, penumpang digalak menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke Terminal 1 dan 2, atau KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya, atau Salak Tinggi.
Bagi mereka yang perlu memandu, laluan alternatif disarankan adalah melalui Lebuhraya ELITE (E6) > keluar di Tol Serenia > Kota Warisan (Bulatan Masjid) > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA (balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta).






