
KUALA LUMPUR: Seramai 1,821 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalami kecederaan semasa dalam perkhidmatan menerima Kenaikan Kadar Pencen Hilang Upaya (PHU), berkuat kuasa 1 Januari lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, PHU diberikan secara bulanan kepada veteran ATM yang mengalami kecederaan dengan darjah hilang upaya satu peratus hingga 100 peratus.
Beliau berkata, Ganjaran Hilang Upaya (GHU) diberikan secara sekali beri kepada anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif.
“Setakat 6 Mac ini, sebanyak 218 orang telah menerima GHU dengan peruntukan RM6.88 juta,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Negara hari ini.
Mengenai Elaun Pelajaran (EP), Adly berkata ia diberikan secara sekali bayar antara RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.
“Kadar Elaun Layanan Sentiasa pula dinaikkan daripada RM440 sebulan kepada RM1,500 sebulan kerana kita tahu bahawa mereka yang hilang upaya sebahagiannya harus dijaga oleh anggota keluarga,” katanya.
Mengenai skim bantuan lain bagi meringankan kos sara hidup harian dan bantuan sara hidup veteran tidak berpencen, Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran menyediakan skim bantuan sara hidup iaitu sebanyak RM500
“Hingga Februari tahun ini, sebanyak 31,858 veteran menerima bantuan tersebut dengan peruntukan RM31.65 juta.
“Bagi inisiatif perumahan veteran, sasaran pembinaan rumah baharu bagi veteran pada tahun ini sebanyak 60 rumah manakala pembaikan rumah veteran pula kita sasarkan 220 buah rumah,” katanya.