
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Program Rakan Muda Ramadan 2025 yang merupakan platform pengisian aktiviti golongan belia sepanjang bulan suci itu.
Program yang dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan itu memberi fokus kepada penyerlahan bakat belia melalui aktiviti berbentuk pertandingan seperti pertandingan hafazan al-Quran, pertandingan azan, nasyid, bercerita dan aktiviti khatam al-Quran.
Timbalan Menteri KBS, Adam Adli berkata, program itu bertepatan dengan konsep ihya Ramadan yang diberi penekanan oleh Rasulullah SWT.

“Menerusi program tersebut, sebanyak 121 program di peringkat daerah, 15 program di peringkat negeri dan satu program peringkat kebangsaan yang melibatkan penyertaan keseluruhan seramai 15,500 orang, akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya ketika melancarkan program berkenaan, di Menara KBS di sini hari ini.
Dalam program berkenaan, turut diadakan Majlis Berbuka Puasa KBS yang turut dihadiri oleh Menteri, Hannah Yeoh dan golongan belia daripada pelbagai latar belakang seperti dari Projek Perumahan Rakyat (PPR), belia OKU, belia dalam kalangan pekerja gig, belia Orang Asli serta Majlis Belia Malaysia (MBM).

Sementara itu, Adam berkata, pelancaran Rakan Muda Ramadan juga diharap menjadi platform yang dapat menarik minat belia untuk menghayati bulan Ramadan al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian.
“Program ini juga diharapkan dapat mengeratkan persaudaraan dan ukhuwah dalam kalangan belia daripada pelbagai latar belakang,” katanya.