
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini giat mengesan individu yang merakam video menunjukkan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan sambil memimpin tangan kedua-dua anaknya.
Video itu tular selepas ada pihak dipercayai memuat naik video berkenaan dalam media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis kini giat menyiasat bagi mengenal pasti sumber atau individu yang merakam video tersebut.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan sama ada rakaman video berkenaan mempunyai kaitan dengan kes kematian Zayn Rayyan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis sudah merakam keterangan ibu kepada kanak-kanak autistik itu berhubung video tersebut.
“Keterangan ibu Zayn sudah diambil pada Isnin lalu,” katanya.
Namun, Mohd Hafiz memberitahu, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh tidak akan melakukan siasatan lanjut kerana kejadian asal berlaku di Bawah kelolaan pentadbiran IPD Petaling Jaya.
Semalam, media melaporkan Balai Polis Kampung Baru Subang menerima laporan dari ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf mengenai video tersebut pada pukul 2.43 petang Ahad lepas.
Rakaman video itu menunjukkan pengadu erjalan sambil memimpin tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya, Mateen menuju ke tempat parkir motosikal di Blok R di apartment berkenaan.