
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kemudahan Pas Pelabur kepada pelawat perniagaan dan pelabur asing ke negara ini, bermula 1 April ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu diperkenal bagi memudahkan urusan pelabur asing, terutama yang telah memberi komitmen pelaburan menerusi agensinya di negara ini.
Beliau berkata, Pas Pelabur itu akan dilaksanakan melalui sistem Xpats Gateway dengan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi laman sesawang Xpats Gateway, https://xpatsgateway.com.my/.
“Melalui kemudahan itu, pelabur asing dibenar masuk ke negara ini untuk tempoh enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan lagi, tertakluk kepada keperluan pemohon.
“Kemudahan visa entri berbilang (MEV) juga akan diberikan kepada pemegang pas berkenaan.
“Ini adalah inisiatif penambahbaikan yang mana sebelum ini tiada pas khusus diberi kepada pelabur asing kerana mereka hanya diberikan Pas Lawatan Sosial dengan tempoh mengikut kelayakan negara iaitu antara 14 sehingga 90 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahuu, media melaporkan KDN akan mengeluarkan pas khas kepada pelabur atau kumpulan ekspatriat mulai April ini, bertujuan memudahkan urusan kemasukan serta membolehkan golongan itu tinggal lebih lama di negara ini untuk menguruskan perniagaan mereka.
Proses pengeluaran pas itu dilapor akan dilakukan secara ‘e-past’ atau pas elektronik