
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam daripada 21 projek bagi mengatasi fenomena air pasang besar dan hakisan pantai dijangka siap tahun ini, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, projek dilaksanakan oleh PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan lapan negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, dengan jumlah kos RM200 juta.
“Skop utama projek adalah pembinaan dan menaik taraf ban-ban serta struktur pengawalan hakisan pantai.
“Sebanyak 21 projek sedang dalam pelaksanaan dan enam daripadanya akan siap pada tahun ini manakala projek lain siap selewat-lewatnya 2027,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata, PETRA melalui JPS turut melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai dengan jumlah kos RM419 juta, bertujuan mengurangkan risiko limpahan banjir pantai ke kawasan penduduk, melindungi harta benda dan kawasan pertanian.
Mengenai isu keselamatan empangan, Akmal Nasrullah memaklumkan sebanyak 10 projek fizikal dan bukan fizikal dengan jumlah kos RM501 juta diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), bertujuan memastikan keselamatan 16 empangan JPS di seluruh negara.
“Antara skop utama projek ini adalah menaik taraf fasiliti dan kelengkapan keselamatan empangan, mengekalkan isipadu bagi meningkatkan keberkesanan fungsi banjir empangan termasuk melaksanakan kajian keselamatan dan pengurusan,” katanya.