
PUTRAJAYA: Program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menjadi wadah perdana menteri menyantuni warga KBS bagi memanfaatkan bulan Ramadan menerusi majlis ilmu.
Antara pengisian program ialah Tazkirah Ramadan yang bertajuk Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia Madani yang disampaikan oleh Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar, penceramah dari Jakim dan solat Zohor berjemaah.
Selain itu, program berkenaan turut dihadiri Menteri KBS, Hannah Yeoh dan hampir 400 warga kementerian.
Dalam pada itu, Anwar turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KBS bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pemantapan tatakelola, inisiatif KBS dan pencapaian utama kementerian.