
PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan kementerian akan memberi tumpuan kepada penjualan pek beras kategori ‘Super Import’ yang memiliki label berwarna biru bagi mengenal pasti penyelewengan penjualan beras di pasaran.
Armizan berkata, siasatan membabitkan kegiatan mencampur beras tempatan dengan import akan dilaksanakan mengikut kta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang merupakan undang-undang di bawah kawal selia KPDN.
“Perenggan 2(c) secara jelas termaktub kategori Super Import adalah beras yang diperoleh dari luar Malaysia.
“Jadi, saya sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN melaksanakan siasatan segera berhubung isu jualan percampuran beras di pasaran di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang merupakan undang-undang di bawah kawal selia KPDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Armizan menyatakan KPDN akan menguatkuasakan Seksyen 5 Akta 730 untuk mengenal pasti pihak bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
Tambah beliau, perkara itu termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.
jelasnya, dengan Perenggan 2(c) peraturan terbabit, ia bermaksud jualan beras dalam kategori berkenaan perlulah 100 peratus beras yang diimport dari luar Malaysia.
“Jika pek beras kategori ‘Super Import’ dan dilabel warna biru yang dijual di pasaran didapati mengandungi beras tempatan, amat jelas ia bertentangan dengan undang-undang.
“Ini kerana Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 memperuntukkan kesalahan bagi menggunakan, membekalkan atau menawarkan barang dengan perihal dagangan palsu,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu akan ekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Kimia sebagai agensi berwibawa untuk melaksanakan analisis sampel.
“Teknologi Pencapjarian DNA Beras yang baharu dibangunkan oleh MARDI diyakini akan dapat memperkasa keberkesanan siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.