
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan program jualan murah bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program jualan murah itu merangkumi Jualan Rahmah Madani, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani, dan Jualan Agro MADANI.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama, termasuk beras, kelapa, ayam, dan telur ayam, adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan persiapan Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Naccol Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan bin Mohd Ali dan timbalannya Dr Fuziah Salleh, pegawai kanan kementerian, wakil kerajaan negeri, pihak industri, serta badan bukan kerajaan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), berkata, mesyuarat turut membincangkan peningkatan inflasi kos perubatan, yang menyebabkan kenaikan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful.
Bagi menangani isu itu, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), termasuk pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif.