KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 orang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Baru, di sini hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan isteri, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahri turut hadir bagi memeriahkan majlis.
Majlis itu bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang berlangsung meriah dengan para pengunjung disajikan pelbagai juadah.
Johari berkata, beliau berterima kasih kepada orang ramai yang hadir meraikan majlis Aidilfitri itu.
“Hari ini kita menyediakan makanan untuk seramai 20,000 orang dan orang ramai dijemput untuk memeriahkan majlis,” katanya ketika ditemui pemberita.
Antara makanan yang disediakan adalah nasi beriani, kambing golek, mi kawah, gulai kawah, laksa, lemang dan rendang serta kuih-muih.
Artis terkenal seperti Nabila Razali dan Hael Husaini turut mengadakan persembahan.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
