KUALA LUMPUR: Sempena penganjuran Pameran Pelancongan Antarabangsa (MATTA Fair) 2025, syarikat pengendali umrah dan pelanconan, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan pakej umrah serendah RM5,990.
Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, tawaran yang merangkumi penginapan selama 12 hari 10 malam itu hanya untuk pendaftaran 10 orang terawal bagi setiap Tarikh penerbangan Air Arabia G9 (musim biasa).

“Tawaran ini hanya berlangsung selama tiga hari sempena penganjuran MATTA Fair 2025 yang bermula dari 18 hingga 20 April ini.
“Sehubungan itu, orang ramai jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi reruai Andalusia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pakej-pakej menarik yang kami tawarkan,” katanya kepada Ceritera Ketika ditemui dalam MATTA Fair 2025 di sini.

Selain itu, Izzati berkata, Andalusia juga menganjurkan kempen cabutan bertuah Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) x MATTA Fair 2025 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.
Katanya, pengunjung yang datang ke reruai Andalusia boleh menyertai cabutan bertuah, sekali gus berpeluang memenangi percutian ke enam negara di Eropah, Wang Kelian-Hatyai dan sebuah motosikal.
“Andalusia juga menawarkan diskaun bermula RM50 hingga RM200 bagi pakej pelancongan ke pelbagai destinasi.

“Diskaun ini terdapat di MATTA Fair dan 60 cawangan Andalusia di seluruh negara serta platform dalam talian,” ujarnya.
Sementara itu, Andalusia optimis menyasarkan 4,000 pendaftaran pakej umrah dan pelancongan yang ditawarkan pihaknya sepanjang tiga hari penganjuran MATTA Fair 2025.
