
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) bagi menjalin kerjasama strategik dalam memperkenalkan penyelesaian kewangan patuh syariah yang menyokong pertumbuhan industri pelancongan Islam.
Kerjasama itu merangkumi pelbagai inisiatif utama seperti penggunaan penyelesaian kewangan yang direka khas untuk industri pelancongan iaitu RHB TravelPlus-i melalui penyediaan kemudahan terminal pembayaran kad kredit/debit yang didatangkan dengan pelan ansuran tanpa kos.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam aktiviti promosi bersama dan penyelidikan pasaran untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pelanggan masing-masing.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, ia merupakan julung kali pihaknya bekerjasama dengan institusi kewangan Islam dalam memperkenalkan pembayaran pakej umrah, haji dan pelancongan menggunakan kaedah sedemikian.
Beliau berkata, pihaknya percaya kerjasama tersebut membuka lembaran baharu dalam penyediaan kemudahan pelancongan Islam dengan nilai tambah kewangan yang memudahkan perancangan para jemaah dan pelanggan mereka.
“Ini adalah contoh bagaimana institusi kewangan dan agensi pelancongan dapat berganding bahu memperkukuh ekonomi umat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memeterai MoU tersebut di reruai Andalusia sempena penganjuran MATTA Fair 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pembangunan Perniagaan Islamik RHB Islamic, Ishak Othman.
Ishak pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Andalusia yang merupakan syarikat pengendali umrah dan pelancongan terkemuka di Malaysia dengan menawarkan pakej RHB TravelPlus-i yang direka khas bagi menyokong syarikat dalam industri pelancongan.
“Pelanggan boleh membuat bayaran ansuran tanpa faedah selama 18 bulan menggunakan kad kredit yang mana membolehkan mereka membuat pembayaran secara fleksibel bersesuaian dengan kemampuan (istito’ah) masing-masing,” katanya.







