SHAH ALAM: Lembaga Tabung Haji (TH) akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis dalam usaha membanteras penipuan pakej haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, ia membabitkan kandungan atau iklan dalam talian yang menawarkan pakej palsu, sekali gus memperdaya umat Islam yang berhasrat menunaikan ibadah berkenaan.
Beliau berkata, arahan juga sudah diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman untuk memantau rapat kes membabitkan penipuan.
“Dalam masa sama, saya seru supaya mereka yang berhasrat untuk menunaikan haji dan umrah untuk membuat semakan, dalam konteks umrah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ada sistem yang menyenaraikan ejen bertauliah.
“Dalam konteks haji pula kita ada 37 penyelia jemaah haji yang diberi tauliah dan lesen oleh Tabung Haji, oleh itu orang ramai perlu buat semakan supaya tidak tertipu,” katanya selepas Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446H di sini hari ini.
Mengulas mengenai jemaah haji Selangor bagi tahun 1446H, Mohd Nai’m berkata, daripada 8,338 jemaah, daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,771 orang, diikuti Petaling (2,593) dan Gombak (645).
Selain itu, Klang (640), Sepang (452), Kuala Selangor (371), Kuala Langat (330), Hulu Selangor (309) dan Sabak Bernam (227).
